Diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya dalam kitab al-Ridha 'Anillah, daripada seorang ulama' tabiin di Kufah bernama Masruq bin Ajda, seperti berikut:
Disebuah desa pedalaman, terdapat sebuah keluarga yang hanya memiliki seekor ayam, seekor keldai dan seekor anjing. Ketiga-tiga haiwan ini amat mereka sayangi kerana memberi manfaat kepada mereka. Ayam untuk membangunkan solat, keldai untuk mengambil air dan anjing untuk menjaga rumah.
Suatu hari, ayam milik keluarga itu telah menjadi mangsa kepada musang. Seisi keluarga menjadi sangat sedih. Namun si ayah berkata: "Tidak mengapa. Insya-Allah(takdir) ini mungkin ada kebaikan untuk kita sekeluarga." Beberapa hari kemudian, seekor serigala pula membunuh keldai mereka. Seluruh ahli keluarga kembali bersedih, namun si ayah tetap berkata: "Tidak mengapa. Insya-Allah(takdir) ini mungkin ada kebaikan untuk kita sekeluarga." Selang beberapa waktu berlalu, anjing mereka pula mati secara tiba-tiba. Seluruh ahli keluarga kembali lagi bersedih. Si ayah kembali berkata perkara yang sama: "Tidak mengapa, insya-Allah baik untuk kita."
Masruq berkata: "Pada suatu pagi,sebaik terbangun tidur, mereka mendapati seluruh penduduk desa telah ditawan dan dibawa pergi oleh sekumpulan perompak pada malam tersebut. Hanya ahli keluarga ini sahaja yang selamat, sebab perompak-perompak itu hanya mendatangi rumah-rumah yang terdengar bunyi haiwan di dalamnya sahaja."
"Boleh Jadi Kamu Membenci Sesuatu, Padahal Ia Amat Baik Bagimu, Dan Boleh Jadi(Pula) Kamu Menyukai Sesuatu, Padahal Ia Amat Buruk Bagimu. Allah Maha Mengetahui, Sedang Kamu Tidak Mengetahui." (al-Baqarah:216)
Mudah2an bersih pandangan mata hati kita pada Allah





0 comel/ensem:
Post a Comment